TARIKH KUAT KUASA AKTA A1602 MULAI 1 JANUARI 2026
Cheras | 23 November 2023
Pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah mengumumkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, Akta [A1602] pada 1 Januari 2026.
Penetapan tarikh itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan warta penetapan tarikh mula kuat kuasa sudah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 November 2023.
Skop pindaan akta adalah seperti berikut:
- Had umur menjadi ahli pertubuhan antara 15-30 tahun
- Had umur pemegang jawatan antara 18-30 tahun
- Tempoh ketua pertubuhan memegang jawatan adalah maksima 4 tahun
Satu Jawatankuasa Bersama yang diketuai oleh YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan akan dibentuk bagi membincangkan program-program transisi serta strategi untuk memperkasakan kepimpinan dan meningkatkan keahlian pertubuhan belia daripada golongan belia yang lebih muda.
Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia akan terus memberikan sokongan dan kerjasama bagi melancarkan proses transisi kepimpinan pertubuhan belia serta menjayakan penguatkuasaan Akta A1602 ini.