Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Negeri Perak 2024
Ipoh, 21 Julai 2024 - Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) telah beralih ke Negeri Perak pada minggu ini. KJOM telah diadakan dengan jayanya bertempat di Dewan Utama, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Meru Raya, Ipoh, Perak.
KJOM merupakan sebuah program yang dilaksanakan bertujuan menyediakan platform kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pejabat ROY, pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta atau belia secara umum untuk mendapatkan pandangan berkaitan Pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) & Pindaan 2019 (Akta A1602) termasuklah pelan transisi kepimpinan belia.
Antara pengisian aktiviti di bawah KJOM adalah Sesi Perkongsian bersama Bank Negara dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Jom Masuk Persatuan, Bicara Akta 668 (Pindaan 2019), representasi pindaan perlembagaan pertubuhan belia dan semestinya Sesi Townhall bersama YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta YB Khairudin Abu Hanapah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
ROY ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang hadir khususnya kepada semua wakil pertubuhan belia bagi memberikan sokongan pada program ini serta yang hadir ke reruai ROY bagi mendapatkan khidmat nasihat.