Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

YBhg.Dato'/Datin/Tuan/Puan,

Tanggal 9 Januari 2019 hari ini adalah hari terakhir saya sebagai penjawat awam (Pegawai Belia dan Sukan) setelah berkhidmat 34 tahun 2 bulan di Kementerian Belia dan Sukan (dahulunya dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan) bermula pada 19 November 1984 sehingga ke hari ini. Saya dengan penuh takzim dan ikhlas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua Team KBS dari pelbagai peringkat di atas segala kerjasama erat, sokongan padu, bantuan dan sokongan yang telah diberikan kepada saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya selama ini. Jazakumullahu khairan

Dalam tempoh 34 tahun ini, saya telah berkhidmat di beberapa buah jabatan iaitu di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, IKBN Kuala Perlis, IKTBN Alor Gajah, Bahagian Pembangunan Belia, Bahagian Pembangunan Sukan, IYRES dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia. Penempatan terakhir saya sebagai Pendaftar Pertubuhan Belia memberi peluang kepada saya untuk mengenal urus tadbir NGO belia dan merapatkan diri dengan anak muda di luar sana dalam menguruskan pertubuhan belia. Sebagai Pegawai Perkhidmatan Belia dan Sukan, bertukar tempat kerja dan berjauhan daripada keluarga sudah menjadi lumrah. Pelbagai suka duka dan pahit manis dirasai sepanjang tempoh perkhidmatan ini. Pengalaman adalah guru yang paling berharga dalam kehidupan.

Pengalaman yang diperolehi ini bukan sahaja menjadi inspirasi dalam mencapai arus evolusi terhadap generasi muda dan bidang sukan sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam malah secara tidak langsung memberi refleks kepada jiwa dan sanubari saya untuk mengimplementasikan segenap ruangan dan titipan kehidupan. Saya juga mengambil kesempatan untuk memohon ribuan ampun dan maaf diatas segala kesilapan, kelemahan, keterlanjuran perbuatan dan kata-kata yang telah menyinggung perasaan dan hati sesiapa sahaja samada secara sedar atau tidak sedar di sepanjang perkhidmatan saya. Saya doakan agar usaha Kementerian Belia dan Sukan khususnya Pejabat Pendafar Pertubuhan Belia dalam meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan sentiasa dipermudahkan Allah swt. Doa saya juga semoga ALLAH swt dengan Rahmatnya melindungi kita serta mencurahkan taufiq dan hidayah serta dikurniakan kesihatan terbaik. Ameen.

Kepada semua pemimpin dan ahli pertubuhan belia, adalah menjadi harapan saya agar hubungan sillaturrahiim akan tetap berterusan dan terjalin erat. Semoga segala sokongan, bantuan dan kerjasama yang terjalin akan dapat diteruskan kepada kepimpinan baru nanti.

Selamat Maju Jaya kepada Team KBS dan harapannya pada masa hadapan Team KBS akan menjadi lebih cemerlang dalam semua lapangan serta terus mengorak langkah yang lebih tinggi ke persada antarabangsa.

Sekian, Wabillahitaufiq wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ikhlas daripada;

HJH. SITI AISHAH YAHYA

Pautan


myGovExchange 1govuc kbs mampu mdec msn hrmis  
Go to top
BCMath lib not installed. RSA encryption unavailable