PENGENALAN
Menurut Dasar Pembangunan Belia Negara, takrif “belia” ialah mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Berdasarkan takrif tersebut, pada hari ini terdapat kira-kira 11.1 juta orang belia di negara ini yang merupakan kira-kira 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia .
Berdasarkan statistik tersebut, belia merupakan kumpulan terbesar penduduk dari segi komposisi dan juga merupakan sumber terpenting negara yang akan menjadi golongan pewaris masa depan negara.
Kerajaan sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan golongan belia dan pertubuhan belia dalam pembangunan negara. Kerajaan juga sedar perlunya golongan belia di negara ini bergiat aktif dalam organisasi sukarela khususnya pertubuhan belia di pelbagai peringkat dalam menggerakkan agenda ke arah pencapaian matlamat Misi Nasional dan Wawasan 2020.
Oleh yang demikian, ke arah penyempurnaan agenda pembangunan belia di negara ini, Kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 bagi menggerak potensi serta peranan pertubuhan belia di negara ini dan juga memperkemas dan memantapkan struktur dan sistem penyampaian pembangunan belia sedia ada.
SOALAN-SOALAN LAZIM
1. Apakah itu Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 ?
Akta ini merupakan satu undang-undang khusus di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia :
untuk mendaftar pertubuhan belia
menggalakkan aktiviti pembangunan belia
memperkemas sistem penyampaian dalam pembangunan belia
2. Golongan manakah yang dikategorikan sebagai “belia” di bawah Akta ini ?
“ Belia” ditafsirkan di bawah Akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang daripada lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun.
3. Kenapa “belia” ditafsirkan sebagai mereka yang dalam lingkungan umur tersebut di bawah Akta ini ?
Tafsiran tersebut adalah berdasarkan tafsiran ”belia” mengikut Dasar Pembangunan Belia Negara (1997) dan telah diguna pakai semenjak tahun 1985 lagi. Tafsiran yang berasaskan umur ini dibuat dengan mengambil kira faktor-faktor seperti tahap kematangan, fakta sejarah, psikologi, ekonomi, politik serta sosio budaya golongan belia itu sendiri. Untuk perbandingan, tafsiran ”belia” bagi negara-negara lain adalah seperti berikut :
a. Singapura - 15 hingga 30 tahun
b. Brunei Darussalam - 15 hingga 35 tahun
c. Bandladesh - 15 hingga 30 tahun
d. Pakistan - 18 hingga 30 tahun
e. Sri Lanka - 15 hingga 29 tahun
f. Hong Kong - 10 hingga 24 tahun
4. Apakah yang dimaksudkan dengan ”Pertubuhan Belia” menurut Akta ini ?
”Pertubuhan Belia” bermaksud mana-mana pertubuhan yang mempunyai ciri-ciri berikut :
mempunyai perkataan ”belia” atau seumpamanya yang membawa maksud golongan belia dalam nama pertubuhan tersebut
kesemua ahlinya hendaklah berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun
mempunyai objektif untuk menjalankan aktiviti-aktiviti belia
5. Kenapa perlu adanya Akta ini ?
Undang-undang khusus mengenai pertubuhan belia dan pembangunan belia belum wujud lagi di negara ini bahkan juga di negara-negara lain. Ini membuktikan betapa kerajaan amat prihatin dan mengambil berat mengenai pembangunan golongan belia di negara ini. Akta ini perlu dalam memperkasa pertubuhan belia supaya mampu menarik lebih ramai golongan muda bergiat aktif dalam pertubuhan belia. Akta ini penting bagi memastikan bahawa pertubuhan belia tetap relevan dalam pembangunan negara menerusi suatu sistem pengurusan dan pemantauan yang lebih teratur. Akta ini juga akan dapat membantu dalam menggerakkan agenda pembangunan belia agar lebih bersepadu, selaras dan bersinergi dengan memberi penekanan terhadap pengurusan pembangunan belia yang berasaskan proses perundingan menyeluruh serta pendekatan pembangunan belia berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R & D).
6. Apakah kesan Akta ini kepada pertubuhan belia sedia ada ?
Semua pertubuhan belia yang telah berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 hendaklah memohon untuk didaftar di bawah Akta ini
Semua pemimpin dan ahli pertubuhan belia yang akan didaftar di bawah Akta ini hendaklah berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun
Pertubuhan belia perlu meminda perlembagaan masing-masing setakat yang tidak bersesuaian dengan peruntukan di bawah Akta ini
Sehingga pendaftarannya diluluskan di bawah Akta ini, sesebuah pertubuhan belia tersebut disifatkan masih berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan boleh terus bergiat aktif
7. Pertubuhan belia yang manakah perlu didaftar di bawah Akta ini ?
Semua pertubuhan belia yang baru ditubuhkan dan belum berdaftar
Semua pertubuhan belia yang masih berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966
8. Pertubuhan atau organisasi manakah yang tidak perlu didaftar di bawah Akta ini ?
Pertubuhan yang ditubuh melalui Akta Parlimen lain seperti Persatuan Pandu Puteri, Persekutuan Pengakap, St. John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah
Sayap Belia (Youth Wing) kepada apa-apa pertubuhan selain pertubuhan belia
9. Apakah syarat untuk memegang jawatan dalam pertubuhan belia di bawah Akta ini ?
Pemimpin yang dipilih atau dilantik memegang jawatan hendaklah berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun
Tidak disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah Akta ini
Tidak disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang lain dan dihukum denda tidak kurang RM5,000.00 atau penjara tidak kurang daripada 1 tahun
Bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan
Tidak menjalani perintah tahanan, sekatan, kawal seliaan, kediaman terhad, buang negeri atau deportasi
Bukan seorang yang diisytiharkan sebagai tidak sempurna akal
Bukan seorang yang didapati tidak layak memegang jawatan atas sebab lain yang difikirkan sesuai dan perlu oleh Pendaftar Pertubuhan Belia
10. Siapakah yang dimaksudkan sebagai ”pemegang jawatan” dalam pertubuhan belia di bawah Akta ini ?
Mana-mana orang yang menjadi presiden, naib presiden, setiausaha, bendahari atau anggota jawatankuasa bagi pertubuhan belia atau mana-mana cawangannya.
11. Adakah Akta ini menghadkan tempoh memegang jawatan dalam pertubuhan belia ?
Akta ini hanya menghadkan tempoh memegang jawatan sebagai Ketua dalam pertubuhan belia di peringkat kebangsaan iaitu hendaklah tidak melebihi 6 tahun secara berterusan. Pemegang jawatan lain di semua peringkat tidak dihadkan tempohnya dengan syarat belum melebihi umur 40 tahun.
12. Bagaimanakah kedudukan pemegang jawatan yang berumur melebihi 40 tahun apabila akta in mula berkuat kuasa ?
Mereka boleh terus memegang jawatan tersebut sehingga tamat tempohnya atau penggalnya.
13. Persatuan Belia yang saya sertai didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Adakah perlu didaftar semula di bawah Akta ini ?
Ya. Semua pertubuhan belia yang telah didaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 perlu memohon untuk didaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 dan berhenti berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 tersebut apabila pendaftarannya diluluskan di bawah Akta ini.
14. Apakah bantuan yang boleh diperolehi oleh persatuan belia yang berdaftar di bawah Akta ini ?
Selain bimbingan, sokongan, kemudahan dan pengiktirafan, pertubuhan belia yang didaftar di bawah Akta ini boleh memohon bantuan kewangan bagi pelaksanaan aktiviti belia.
15. Sekiranya sesebuah persatuan belia bercadang menjalankan aktiviti belia, apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam program
tersebut ?
Menurut tafsiran aktiviti belia di bawah Akta ini, ianya bermaksud sebarang aktiviti melibatkan belia yang antara objektif aktiviti tersebut terkandung aspek :
Untuk membina peribadi belia;
Untuk meningkatkan kesetianegaraan di kalangan belia;
Untuk menyebarkan prinsip-prinsip Rukunegara;
Untuk mewujudkan kesedaran di kalangan belia terhadap unsur dan nilai negatif;
Untuk membolehkan belia mempunyai kesedaran terhadap kebudayaan, alam sekitar, sukan, kesihatan, kerohanian dan kebajikan sosial
Untuk memberikan peluang bagi penyertaan belia dalam program pembangunan komuniti bandar dan luar bandar;
Untuk memberikan peluang bagi latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan;
Untuk membantu belia menyesuaikan diri dan membentuk sikap positif dalam menghadapi cabaran dan desakan hidup melalui penggunaan komponen pendidikan dan kemahiran hidup.
16. Pihak manakah yang akan menguruskan pendaftaran sesebuah pertubuhan belia di bawah Akta ini ?
Urusan pendaftaran pertubuhan belia akan dikendalikan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia yang dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan.
17. Apakah antara perkara-perkara yang boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan belia ditolak pendaftarannya ?
Pendaftar boleh menolak pendaftaran pertubuhan belia jika
pendaftarannya telah dibuat disebabkan fraud, kesilapan atau salah nyataan;
pertubuhan belia tersebut digunakan bagi maksud menyalahi undang-undang;
pertubuhan belia tersebut meneruskan objektif selain objektif asal penubuhannya;
pertubuhan belia dengan sengaja melanggar Akta ini atau mana-mana peraturan di bawah Akta ini;
pertubuhan belia tersebut tidak wujud lagi;
pertubuhan belia tersebut atau cawangannya telah dibatalkan di bawah Akta Pertubuhan 1966;
pertikaian wujud dikalangan anggota pertubuhan belia mengenai pemegang jawatan atau pentadbir harta pertubuhan tersebut.
18. Apakah kaedah penyelesaian pertikaian dalam pertubuhan belia mengikut Akta ini ?
Sebarang pertikaian yang tidak dapat diselesaikan, boleh dirujuk kepada Pendaftar untuk keputusannya;
Jika tidak berpuas hati dengan keputusan Pendaftar, rayuan boleh dibuat kepada Panel Penyelesaian Pertikaian;
Jika tidak berpuas hati dengan keputusan Panel tersebut, rayuan boleh dibuat kepada Menteri.
19. Apakah kesan langsung pelaksanaan Akta ini ke atas belia dan pertubuhan belia yang didaftar di bawahnya ?
Antara kesan langsung yang dikenalpasti apabila akta ini dikuatkuasakan termasuklah :
Pertubuhan belia akan didaftar di bawah Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia, Kementerian Belia dan Sukan;
(b) Ahli dan Pemimpin Pertubuhan Belia hendaklah dari kalangan mereka yang berumur tidak kurang 15 tahun dan tidak melebihi 40 tahun;
(c) “Pertubuhan Belia” diberi definisi yang lebih jelas bagi memudahkan urusan pendaftaran serta membezakannya daripada pertubuhan lain;
(d) Ketua Pertubuhan Belia di peringkat kebangsaan hanya boleh menyandang jawatan utama tersebut selama 6 tahun secara berterusan;
(e) Kawal seliaan dan pemantauan ke atas pertubuhan belia yang berdaftar dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan;
(f) Sebarang pertikaian dalaman yang berlaku dalam pertubuhan belia yang berdaftar perlu diselesaikan menurut tatacara yang dinyatakan dalam akta;
Majlis Belia Malaysia diiktiraf sebagai sebuah badan induk utama kepada pertubuhan belia dan ianya berperanan besar dalam penyaluran “suara belia”;
Kesemua pertubuhan belia yang berdaftar di bawah akta ini, akan diberi perhatian besar oleh Kementerian Belia dan Sukan termasuklah dalam soal pemberian bantuan, pembangunan kepimpinan, pembangunan organisasi dan sebagainya;
Identiti dan imej sebenar pertubuhan belia akan lebih terserlah sebagai organisasi untuk orang muda apabila ahli dan pemimpinnya dalam lingkungan umur tidak melebihi 40 tahun;
Peluang yang terbuka luas untuk golongan muda menerajui pertubuhan belia secara tidak langsung akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis negara;
Ruang perundingan antara golongan belia dan kerajaan lebih terbuka luas, terarah dan bersistematik melalui forum perundingan yang diwujudkan iaitu Majlis Perundingan Belia Negara;
Pendekatan pembangunan belia di negara ini akan melangkah ke era baru menerusi aplikasi penyelidikan dan pembangunan (R & D) dalam bidang pembangunan belia yang diperkenalkan di bawah akta ini.
20. Apakah fungsi badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan di bawah Akta ini ?
Majlis Belia Malaysia adalah badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan yang menggabungkan dan menyelaras semua pertubuhan belia yang bergabung dengannya. Fungsinya adalah :
untuk menyalurkan suara belia kepada kerajaan;
untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan belia; dan
untuk melaksana apa-apa fungsi lain di bawah Akta ini.
21. Apakah fungsi Majlis Perundingan Belia Negara yang ditubuhkan di bawah Akta ini ?
Majlis Perundingan Belia Negara yang dianggotai oleh wakil Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, semua Anggota Dewan Tertinggi dan Anggota Jawatankuasa Kerja badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan serta anggota lantikan lain yang boleh menyumbang kepada pembangunan belia berfungsi sebagai badan perunding dalam hal yang berkaitan pembangunan belia.
22. Apakah fungsi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta ini ?
Antara fungsi-fungsi Institut ini adalah :
untuk bertindak sebagai pusat penyelidikan pembangunan belia kebangsaan;
untuk mengumpul, mengurus dan menyebarkan maklumat berkaitan pembangunan belia;
untuk menjalankan, memudahkan atau membiayai penyelidikan berkaitan pembangunan belia;
untuk mengadakan perkhidmatan teknikal, nasihat, perundingan dan perkhidmatan berkaitan pembangunan belia;
untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama dengan institusi lain di dalam dan luar negara berkaitan pembangunan belia;
untuk menganalisis, menilai dan membuat syor mengenai aktiviti belia anjuran pertubuhan belia, badan kerajaan, organisasi bukan kerajaan atau sektor swasta;
untuk menjalankan program bercorak pendidikan dan kesedaran untuk menggalakkan pembangunan belia; dan
untuk bekerjasama, menyelaras dan menyertai dalam program penyelidikan pembangunan belia anjuran pelbagai organisasi termasuk organisasi antarabangsa.
Sebarang pertanyaan mengenai Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 boleh dikemukakan kepada :
Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia
Menara KBS, Lot 4G4, Presint 4,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62570 PUTRAJAYA
Telefon : 03-8871 3333
Fax : 03-8888 8761
Laman Web : www.kbs.gov.my