MAJLIS PELUNCURAN RAKAN DEMOKRASI: KUASA ORANG MUDA 2024 (RD:KOM)
Cyberjaya | 25 November 2024
Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, diwakili oleh Puan Koh Mei Ching, Penolong Pendaftar Kanan, telah menghadiri Majlis Peluncuran Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda 2024 (RD:KOM) yang berlangsung di MMU Cinema, Universiti Multimedia, Cyberjaya.
Program RD:KOM adalah sebuah inisiatif pendidikan demokrasi yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan komitmen belia terhadap peranan mereka sebagai warganegara yang aktif. Program ini menyediakan platform untuk belia memahami tanggungjawab demokratik mereka dan mendorong penglibatan mereka dalam membentuk masa depan negara.
Pelancaran ini turut menjadi simbolik kepada pelaksanaan 100 program RD:KOM di seluruh negara, yang bakal dilaksanakan oleh Rakan Pelaksana.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Turut hadir adalah YBrs. Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), serta Puan Sri Kusuma Wati binti Mohd Daud, Pengarah STyLE MMU.
Melalui pelaksanaan program ini, diharapkan belia Malaysia akan lebih peka dan berperanan aktif dalam pembangunan demokrasi negara.


