ROY HADIR PROGRAM JELAJAH PENERANGAN MYKD EDISI FELDA WILAYAH JOHOR BAHRU
Mersing, 2 Disember 2024 – Program Jelajah Penerangan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) Edisi Felda Wilayah Johor Bahru telah berlangsung dengan penuh meriah di Telok Gorek Chalet & Campsite. Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan berjaya menarik penyertaan seramai 103 orang peserta daripada 35 pertubuhan MBFM Wilayah Johor Bahru.
Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Zon Selatan turut dijemput untuk memberikan perkhidmatan khidmat nasihat berkaitan pengurusan dan tadbir urus yang baik dalam pertubuhan belia. Selain itu, semakan dokumen MYKD yang telah disediakan oleh peserta turut dilakukan, memberikan panduan penting kepada organisasi belia dalam mematuhi keperluan undang-undang dan pengurusan yang telus.
Program ini disertai oleh Penolong Pendaftar Kanan, En. Mohd Firdaus bin Mazlan, bersama En. Noor Muhammad Asri bin Kamarozzaman, Pegawai Pendaftar. Kehadiran mereka memperkukuhkan komitmen ROY dalam menyokong pembangunan kapasiti dan kecekapan organisasi belia, khususnya di bawah naungan MBFM.
Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan menggalakkan tatakelola yang lebih berintegriti dalam kalangan pertubuhan belia. Dengan usaha kolaborasi seperti ini, MBFM Wilayah Johor Bahru mampu menjadi contoh teladan dalam pembangunan belia yang progresif dan bertanggungjawab.

