DR. HJH. SITI NAZARIAH HJ. ABDUL RAZAK DIANUGERAHKAN TOKOH SILAT 2024
DR. HJH. SITI NAZARIAH HJ. ABDUL RAZAK DIANUGERAHKAN TOKOH SILAT 2024
Kuala Lumpur, 14 Disember 2024 – Dr. Hjh. Siti Nazariah Hj. Abdul Razak, Ketua Penolong Pendaftar Cawangan Penyelarasan dan Pemantauan, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), telah menerima pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagai Tokoh Silat 2024 dalam Majlis Anugerah Silat Kebangsaan 2023 & 2024 anjuran Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM). Majlis berprestij ini berlangsung di Perdana Kuala Lumpur City Centre Hotel pada 14 Disember 2024.
Anugerah ini diberikan sebagai penghargaan atas sumbangan luar biasa Dr. Hjh. Siti Nazariah dalam memartabatkan seni silat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta kepakaran beliau dalam bidang psikologi sukan. Keupayaan beliau menggabungkan ilmu akademik dengan seni warisan menjadikan beliau tokoh yang disegani dalam kalangan penggiat seni silat tanah air.
Sebagai seorang pemimpin di ROY, Dr. Hjh. Siti Nazariah turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan organisasi belia melalui pendekatan yang inklusif dan inovatif. Pengiktirafan ini sekaligus mencerminkan dedikasi beliau bukan sahaja dalam dunia seni silat, tetapi juga dalam bidang pembangunan belia secara keseluruhan.
Tahniah diucapkan kepada Dr. Hjh. Siti Nazariah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan beliau terus menjadi inspirasi kepada masyarakat belia dan penggiat seni silat di Malaysia.


