Zoom Webinar, 30 Oktober 2021: Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia telah menganjurkan sesi Webinar Khas sempena Hari Belia Negara 2021 yang bertajuk “Cabaran Tadbir Urus Pertubuhan Belia Pasca Pandemik: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Secara Dalam Talian”. Sesi webinar ini telah disertai oleh 226 peserta yang terdiri daripada pemegang jawatan tertinggi Pertubuhan Belia Induk Kebangsaan/ Majlis Belia Negeri/ Majlis Belia Daerah dan Pertubuhan Belia Tunggal.



Panel penceramah webinar ini adalah Encik Badari Awang Damit, Pendaftar Pertubuhan Belia dan juga Encik Petrus Gerard Young yang merupakan Setiausaha Agung dari Junior Chamber International (JCI) Malaysia. Antara perkongsian yang disampaikan oleh Tuan Pendaftar adalah aspek-aspek yang berkaitan bagi keberkesanan tadbir urus pertubuhan belia. Namun akibat pandemik COVID-19, ramai yang terkesan termasuk pertubuhan belia yang sukar menjalankan MAT seperti mana biasa dan seterusnya menjejaskan tadbir urus pertubuhan belia. Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan semua pertubuhan belia berubah kepada pelaksanaan MAT dan mesyuarat-mesyuarat lain secara dalam talian mengikut amalan norma baharu.



Manakala Encik Petrus Gerard Young pula berkongsi pengalaman beliau melaksanakan MAT JCI secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom dan juga pemilihan jawatankuasa menggunakan aplikasi Election Buddy semenjak tahun 2020. Beliau berkata pelaksanaan MAT dan pemilihan jawatankuasa secara dalam talian adalah lebih mudah, menjimatkan masa dan kos. Pemilihan jawatankuasa secara dalam talian juga adalah sulit dan telus.
 
Semoga perkongsian ilmu yang telah disampaikan dapat membantu pertubuhan belia mengadaptasikan teknologi pendigitalan dalam pengurusan dan tadbir urus pasca pandemik ini. Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia mengucapkan terima kasih kepada semua ahli panel kerana sudi meluangkan masa memberi input, berkongsi pandangan dalam sesi webinar pada hari ini. Terima kasih juga buat semua peserta yang hadir dan memeriahkan lagi sesi webinar ini. Semoga anda semua mendapat manfaat dan jumpa lagi pada sesi webinar yang akan datang.

#HSN2021#TeamROY#GoDigital#GoOnline