Perutusan Pendaftar
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.
Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pengunjung Laman Portal Rasmi Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). ROY telah diwujudkan pada tahun 2007 yang bertanggungjawab untuk mendaftar dan mengawal selia semua pertubuhan belia yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668]. Peningkatan pertubuhan belia dari tahun ke tahun telah mencapai 11,939 buah pertubuhan belia berdaftar sehingga 31 Mac 2021. Bilangan pertubuhan belia yang semakin meningkat hari demi hari telah memberi impak yang amat besar terhadap perkembangan modal insan di Negara ini. Ini menunjukkan satu tanda yang positif dalam membangunkan pertubuhan belia dan menggembeling tenaga belia ke arah yang lebih cemerlang.
Tujuan Laman Portal ini dibangunkan adalah sebagai mekanisme penyampaian maklumat terkini bagi perkhidmatan yang disediakan oleh ROY kepada seluruh masyarakat. Salah satu strategi untuk memperkenal dan mempromosikan ROY adalah melalui laman portal yang memaparkan pelbagai maklumat yang boleh dijadikan rujukan dan panduan berhubung dengan organisasi, aktiviti serta perkhidmatan teras ROY seperti prosedur penubuhan pertubuhan, pindaan perlembagaan, borang-borang berkaitan dan statistik pertubuhan. Capaian-capaian mesra pelanggan turut disediakan supaya pengunjung berupaya menggunakan portal ROY dengan mudah. Laman portal ini sentiasa diselenggara dan dikemaskini bagi menjamin maklumat yang diberikan adalah relevan dan terkini.
Harapan saya agar semua pengunjung laman poRtal ROY dan warga ROY dapat memanfaatkan sepenuhnya informasi serta perkhidmatan yang terdapat dalam laman portal ROY ini. Saya turut mengalu-alukan dan menghargai maklum balas, cadangan dan idea yang membina supaya laman portal ini terus menjadi medium yang berkesan dan bermanfaat kepada semua pihak. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan ke arah pembangunan laman potal ROY ini. Adalah diharapkan laman portal ini berjaya menjadi landasan penyaluran maklumat berkualiti, selari dengan pelan pelaksanaan transformasi perkhidmatan awam untuk merakyatkan perkhidmatan yang mesra pelanggan serta bersifat inovatif.
Sekian, selamat melayari laman portal rasmi Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.
Salam Hormat dan Terima Kasih.
Hasnata bin Hasan
Pendaftar
Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia
Kementerian Belia dan Sukan