PERJUMPAAN KP JBSN BERSAMA KELAB RAKAN MUDA NEGERI KEDAH


Alor Setar, Kedah, 12 Januari 2025 – Sejurus selepas perjumpaan bersama Pegawai Skim Perkhidmatan Belia dan Sukan, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Puan Azura binti Abidin, mengambil kesempatan untuk bertemu dengan Kelab Rakan Muda (KRM) Negeri Kedah.
Pertemuan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah ini dihadiri oleh 15 ahli KRM daripada daerah Kubang Pasu, Jerai, Padang Terap, dan Pendang, bersama dengan semua Pegawai Rakan Muda dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) di Kedah.
Dalam amanatnya, YBrs. Puan Azura menegaskan bahawa Kelab Rakan Muda memainkan peranan penting dalam mendokong pelaksanaan program jabatan di peringkat negeri dan daerah. Beliau turut menyatakan bahawa KRM berpotensi membantu kerajaan mengurangkan gejala sosial serta menjadi ejen yang menarik belia menyertai pelbagai aktiviti anjuran kerajaan.
Selain itu, sesi ini menjadi platform dua hala untuk bertukar idea dan mencetuskan cadangan bagi memperkasakan KRM di seluruh negara. Idea-idea yang dikongsi oleh ahli KRM mencerminkan kesungguhan mereka untuk mencipta kejayaan, di samping bimbingan pegawai Rakan Muda di daerah yang amat diperlukan dalam membimbing perkembangan KRM.
Perjumpaan ini membuktikan komitmen JBSN dalam mendengar pandangan serta memberikan sokongan padu kepada Kelab Rakan Muda sebagai pemangkin utama pembangunan belia.
