BENGKEL TADBIR URUS PERTUBUHAN BELIA 2025 (BTU 2025) PERINGKAT NEGERI SABAH DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Kota Kinabalu, 15 Mac 2025 – Bengkel Tadbir Urus Pertubuhan Belia 2025 (BTU 2025) bagi Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya diadakan dengan penyertaan seramai 113 orang peserta dari Sabah dan 57 orang peserta dari Wilayah Persekutuan Labuan. Peserta terdiri daripada pemegang jawatan dan ahli pertubuhan belia, Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah serta golongan belia dari kedua-dua wilayah tersebut.
Bengkel ini bertujuan untuk memberikan bimbingan berkaitan tadbir urus pertubuhan belia, termasuk aspek berikut:
i. Penyediaan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD)
ii. Penarafan Bintang Pertubuhan Belia
iii. Integriti dalam Pertubuhan Belia
iv. Pindaan Perlembagaan Pertubuhan Belia
v. Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia [Akta 668] (Pindaan 2019)
Dalam sesi taklimat, Encik Muhammad Mohsien bin Jamaluddin, Pegawai Pendaftar Kanan dari Cawangan Penyelarasan dan Pemantauan, Ibu Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, telah berkongsi maklumat penting mengenai Penarafan Bintang dan Integriti dalam Pertubuhan Belia.
Selain itu, Encik Mohd Rizuan bin Abdul Majid, Penolong Pegawai Belia dan Sukan di Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, turut menyampaikan taklimat mengenai Inisiatif dan Insentif Belia 2025, yang memberikan pendedahan berharga kepada para peserta tentang peluang dan sokongan yang tersedia untuk belia.
Turut hadir, Puan Suzirani Binti Muamat, Pegawai Pendaftar Kanan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sabah, yang juga berkongsi taklimat berkaitan aspek tadbir urus pertubuhan belia.
Dengan adanya sesi perkongsian ini, diharapkan para peserta mendapat pemahaman yang lebih jelas tentang kepentingan tadbir urus yang baik dalam pertubuhan belia. Semoga ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya, seterusnya menggalakkan lebih ramai belia untuk aktif dan komited.




