SESI PENILAIAN ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA (APBN) PERINGKAT NEGERI KEDAH 2025
Alor Setar, 17 Mac 2025 – Penilaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Kedah kategori pertubuhan belia telah berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Mac 2025, dengan penyertaan 15 pertubuhan belia dari seluruh negeri. Penilaian dibahagikan kepada dua zon bagi memastikan kelancaran sesi pembentangan.
Zon Utara melibatkan pertubuhan belia dari daerah Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu, dan Yan, manakala Zon Selatan terdiri daripada pertubuhan belia dari Kuala Muda, Baling, Sik, Kulim, dan Bandar Baharu.
Pada hari pertama, seramai lapan (8) pertubuhan belia dari Zon Utara telah membentangkan profil dan pencapaian organisasi mereka. Manakala pada hari kedua, tujuh (7) pertubuhan belia dari Zon Selatan turut berpeluang mempersembahkan inisiatif dan sumbangan mereka dalam pembangunan belia serta masyarakat.
Panel penilaian diketuai oleh Tuan Haji Mohd Salleh bin Ramli, mantan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah. Turut menganggotai panel ialah:
i. Puan Noor'azah binti Ali @ Ahmad, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Utara.
ii. Encik Annuar bin Ibrahim, mantan Setiausaha Kehormat Majlis Belia Negeri Kedah.
iii. Puan Yusnida binti Yusoff, Penolong Pengurus Pembangunan Komuniti, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Penilaian APBN ini bertujuan mengiktiraf pertubuhan belia yang aktif serta berdaya maju dalam melaksanakan program pembangunan belia di peringkat negeri. Proses penilaian yang teliti dan profesional oleh panel yang berpengalaman memastikan bahawa organisasi yang benar-benar cemerlang dalam kepimpinan, pengurusan, dan impak kepada komuniti akan diberi penghormatan selayaknya.
Anugerah Perdana Belia Negara merupakan platform penting dalam memperkasakan peranan belia serta memberi motivasi kepada pertubuhan belia untuk terus berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan negara.








