SEMINAR KELAB BELIA KEDA
19 Mac 2025, ALOR SETAR – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Utara dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon Utara telah menganjurkan Seminar Kelab Belia KEDA bagi memberi pendedahan kepada Kelab Belia Desa KEDA yang baru ditubuhkan mengenai proses penubuhan dan peranan pertubuhan belia. Program ini berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar.
Seminar ini merupakan inisiatif Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA dengan sokongan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah. Objektif utama program ini adalah untuk menggalakkan belia aktif dalam pertubuhan belia serta memainkan peranan positif dalam pembangunan komuniti.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Puan Nor Azma binti Deris, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, serta Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Utara, Puan Noor’ Azah binti Ali@Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengurus Besar KEDA menekankan kepentingan belia untuk berdikari dan mengambil inisiatif sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan KEDA. Beliau turut menggalakkan belia Desa KEDA untuk menyertai pertubuhan belia sebagai platform memupuk semangat tanggungjawab, patriotisme, dan kesukarelawanan.
Seramai lima Kelab Belia Desa KEDA telah menghadiri seminar ini, iaitu:
i) Kelab Belia Desa KEDA Paya Lipai
ii) Kelab Belia Desa KEDA Pong Selatan
iii) Kelab Belia Desa KEDA Hujung Keton
v) Kelab Belia Desa KEDA Bendang Perang
vi) Kelab Belia Desa KEDA Tanjong Setol
Sebagai sebahagian daripada program ini, taklimat mengenai Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) telah disampaikan oleh Encik Mohd Khidir bin Mohd Fauzi, Penolong Pegawai Pendaftaran. Selain itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah, Encik Amir Murshidi, turut hadir dalam slot Sembang Santai bersama peserta untuk berkongsi pengalaman serta memberikan motivasi kepada belia dalam mengurus dan mengembangkan pertubuhan mereka.








