ROY SAMBUT HASRAT PENUBUHAN PERTUBUHAN BELIA
24 Mac 2025, Putrajaya – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah menerima kunjungan sekumpulan belia yang diketuai oleh Saudari Khairina Malika binti Khairul Rijal bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai proses pendaftaran kelab mereka. Kelab ini dikenali sebagai sebuah pertubuhan yang sangat aktif dalam melaksanakan program-program komuniti, termasuk inisiatif kesukarelawanan, pembangunan belia, dan kebajikan masyarakat.
Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, pegawai ROY telah memberikan penerangan berkaitan syarat dan prosedur pendaftaran pertubuhan belia selaras dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Beberapa aspek penting yang dibincangkan termasuk struktur organisasi, keperluan dokumentasi, serta kepentingan pematuhan tadbir urus pertubuhan.
Pejabat ROY mengalu-alukan inisiatif golongan belia yang ingin menubuhkan pertubuhan berdaftar dan menzahirkan komitmen untuk terus membimbing serta menyokong usaha belia ke arah pembangunan komuniti yang lebih mampan.






