KUNJUNGAN HORMAT JUNIOR CHAMBER INTERNATIONAL (JCI) ZON UTARA
9 April, Alor Setar – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Zon Utara telah menerima kunjungan hormat daripada barisan jawatankuasa Junior Chamber International (JCI) Zon Utara. Rombongan ini diketuai oleh Senator Alen Yeoh, Naib Presiden Eksekutif Kebangsaan JCI Malaysia.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh wakil-wakil daripada JCI Alor Setar, JCI Kulim, JCI Sungai Petani dan JCI Pulau Pinang. Turut hadir, Encik Wan Mohd Amirul Asyraf bin Wan Kamarulzaman, Setiausaha Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah.
Dalam sesi ini, pihak JCI telah membentangkan laporan program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 serta perancangan program untuk tahun 2025. Wakil dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Encik Izwan dari Unit Belia, turut berkongsi takwim program tahun 2025 dan memberikan penerangan mengenai bantuan Dana Sukan Komuniti yang boleh dipohon oleh pertubuhan belia dan pertubuhan sukan yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
ROY juga mengambil peluang untuk memberikan maklum balas berkaitan laporan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) yang sering tidak lengkap dalam kalangan pertubuhan JCI, khususnya laporan kewangan dan jumlah keseluruhan keahlian.
Selain itu, ROY turut memaklumkan mengenai program terdekat yang akan diadakan pada bulan April dan Mei, iaitu sesi libat urus bersama pertubuhan belia tunggal berkaitan pindaan perlembagaan selaras dengan Akta A1602 yang melibatkan perubahan umur belia yang akan dikuatkuasakan pada tahun 2026.
Antara wakil JCI yang hadir ialah:
- Sylvia Ng Shu Hua – Pengerusi, JCI Sungai Petani
- Sophia Loo – Pengarah Hubungan Luar & Perkongsian, JCI Malaysia Zon Utara
- Duncan Tan – Penasihat Pengerusi & Pengarah Linguistik Zon Utara, JCI Sungai Petani
- Heng John Way – Pengerusi, JCI Alor Setar
- Amanda Cheah – Naib Presiden Kebangsaan, JCI Malaysia




