Sesi Kunjungan Hormat JCI Malaysia ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia | 26 Julai 2025

Sesi Kunjungan Hormat JCI Malaysia ke atas Menteri Belia dan Sukan Malaysia | 26 Julai 2025
YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah menerima kunjungan hormat daripada Junior Chamber International (JCI) Malaysia, diketuai oleh Presiden JCI Malaysia, Saudara Tan Wei Jian selaku Ketua Delegasi dan turut dihadiri oleh Saudara Michael Sandjaja, Naib Presiden JCI Antarabangsa. Dalam kunjungan ini, JCI berkongsi maklumat mengenai Majlis Sambutan 50 Tahun Penubuhan JCI Malaysia yang bakal diadakan di Pulau Pinang dengan kehadiran lebih 100 delegasi antarabangsa. Acara berprestij ini mencerminkan reputasi JCI sebagai platform pembangunan kepimpinan muda bertaraf dunia dan Malaysia sebagai tuan rumah yang bersedia memperkukuh hubungan antarabangsa belia.
Selain itu, JCI memberi sokongan penuh terhadap pindaan Akta 668, khususnya melibatkan transisi penurunan had umur belia daripada 40 ke 30 tahun. JCI turut berkongsi perancangan rapi bersama badan gabungan di bawahnya serta mencadangkan solusi terhadap cabaran transisi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berimpak tinggi.
Dalam majlis ini, YB Hannah Yeoh turut menyampaikan Sijil Penarafan Bintang 2024 kepada JCI Kebangsaan yang merupakan pengiktirafan terhadap amalan tadbir urus dan tatakelola pertubuhan yang berkualiti, telus dan berkesan. KBS amat menghargai keterbukaan dan komitmen JCI dalam menyokong dasar belia negara serta memperkukuh ekosistem kepimpinan muda yang mampan dan bersifat global.
