TAKLIMAT PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA KEPADA YB DR. MOHAMMED TAUFIQ BIN JOHARI
PUTRAJAYA, 7 Januari 2026 – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah mengadakan satu Sesi Taklimat kepada YB Menteri Belia dan Sukan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, pada jam 9.30 pagi bertempat di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sesi taklimat tersebut telah disampaikan oleh Tuan Pendaftar Pertubuhan Belia, Encik Hasnata Hasan.
Taklimat ini bertujuan memberi penerangan menyeluruh mengenai peranan, fungsi serta hala tuju strategik ROY dalam memperkukuh tadbir urus pertubuhan belia selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).
Dalam sesi berkenaan, YB Menteri telah dimaklumkan mengenai peranan ROY sebagai badan kawal selia utama pertubuhan belia, termasuk aspek pendaftaran, pemantauan pematuhan perlembagaan, pengurusan keahlian dan kepimpinan, serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah Timbalan Pendaftar Pertubuhan Belia, En Shamsul bin Musa, Ketua Penolong Pendaftar, En Musa bin Salim serta Penolong Pendaftar Pn Noorzalikha Binti Kamar.
YB Menteri Belia dan Sukan merakamkan penghargaan atas taklimat yang diberikan dan menegaskan komitmen KBS untuk terus menyokong peranan ROY dalam memperkasa ekosistem pertubuhan belia negara.
