SESI KUNJUNGAN YB MORDI BIMOL KE PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA
Putrajaya, 15 Januari 2026 - YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan hari ini melakukan kunjungan rasmi sulung ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di Putrajaya bagi mendengar taklimat mengenai peranan dan hala tuju pembangunan belia negara. Dalam sesi taklimat ini, Encik Hasnata Hasan, Pendaftar Pertubuhan Belia membentangkan latar belakang penubuhan, fungsi serta peranan ROY sebagai agensi yang bertanggungjawab mendaftarkan dan menyelaras pertubuhan belia di seluruh negara. Turut dikongsikan ialah rangka perancangan program dan inisiatif ROY bagi tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan organisasi belia, kepimpinan generasi muda dan pemantapan tadbir urus pertubuhan.
Menurut YB Mordi, kunjungan ini memberi ruang untuk lebih memahami keperluan pertubuhan belia di lapangan dan meneliti peranan ROY dalam menyokong ekosistem belia. Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya bercadang mengadakan siri jelajah ke Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini. Jelajah tersebut bertujuan untuk mendengar pandangan dan cabaran yang dihadapi pertubuhan belia di peringkat akar umbi serta melihat pelaksanaan program pembangunan belia secara langsung di ketiga-tiga negeri ini. Turut hadir dalam kunjungan ini ialah YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan.
Sebagai agensi sokongan pertubuhan belia, ROY akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan program pembangunan belia dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan di samping menggalakkan pertubuhan belia berdaftar memanfaatkan platform penyelarasan dan program disediakan selain bekerjasama dalam memperkukuh ekosistem belia negara.
