SESI KUNJUNG HORMAT KE PEJABAT PENDAFTAR PERTUBUHAN BELIA OLEH PERSATUAN MENCEGAH DADAH MALAYSIA (PEMADAM)
25 FEBRUARI, PUTRAJAYA – Satu sesi Kunjung Hormat ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia di Putrajaya oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang diketuai oleh Encik Rashdan Rashid, Setiausaha Sekretariat Pembangunan Sumber Manusia dan Jalinan NGO Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, bersama Setiausaha Kerja beliau, Puan Noreffa binti M. Yazid serta Mohamad Syamil Alif Siau bin Mohamad Danial Siau, Pengerusi Biro Belia & Pembangunan NGO PEMADAM Selangor, telah diadakan pada 25 Februari 2026. Delegasi tersebut telah disambut oleh Encik Shamsul bin Musa, Timbalan Pendaftar Pertubuhan Belia, bersama Ketua Penolong Pendaftar, Encik Musa bin Salim serta pegawai-pegawai Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia.
Pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan hasrat PEMADAM untuk menubuhkan persatuan-persatuan belia di bawah naungannya di seluruh negara sebagai platform memperkukuh penglibatan belia dalam usaha pencegahan dadah dan pembangunan komuniti. Dalam sesi tersebut, pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia turut memberikan penerangan, khidmat nasihat serta panduan berkaitan prosedur dan keperluan permohonan pendaftaran, bagi memastikan proses penubuhan persatuan dapat dilaksanakan secara teratur, mematuhi peruntukan undang-undang serta garis panduan yang berkuat kuasa.

