PROGRAM SANTUNI PERTUBUHAN BELIA SejaTi MADANI x BELIA PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2026
28 Februari 2026, Labuan - Program Santuni Pertubuhan Belia SejaTi MADANI x Belia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan yang dirasmikan oleh YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBrs. Encik Hasnata Hasan, Pendaftar Pertubuhan Belia, Puan Mahanum Fauzi, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan dan Saudari Nazera Roslan, Presiden Majlis Belia Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini merupakan siri yang julung kali diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan dan dihadiri seramai 40 orang ahli daripada 12 pertubuhan belia dan NGO.
Menerusi ucapannya, YB Mordi Bimol mengharapkan agar pertubuhan belia di Wilayah Persekutuan Labuan menggunakan inisiatif SejaTi Madani untuk membangunkan lokaliti masing-masing melalui geran yang disediakan kepada pertubuhan belia. Beliau juga memberi cadangan kepada pertubuhan belia untuk membuat perancangan sebaiknya agar projek tersebut memberikan pulangan dan manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan, Saudari Nazera binti Roslan menyatakan ucapan terima kasih kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia kerana mengadakan Program Santuni Pertubuhan Belia di Wilayah Persekutuan Labuan yang dilihat telah membantu dalam memberi pendedahan berkenaan dengan inisiatif SejaTi MADANI kepada pertubuhan-pertubuhan belia di wilayah tersebut. Beliau juga menyatakan harapan beliau mewakili belia di Wilayah Persekutuan Labuan agar lebih banyak program dan dana disalurkan kepada belia di kawasan tersebut.
Program Santuni Pertubuhan Belia telah diisi dengan slot daripada pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini. Semoga inisiatif SejaTi MADANI yang akan disalurkan kepada pertubuhan belia akan memberi manfaat berpanjangan kepada pembangunan masyarakat setempat.

