PROGRAM SANTUNI PERTUBUHAN BELIA SejaTi MADANI x BELIA PERINGKAT NEGERI MELAKA TAHUN 2026
AYER KEROH, 08 Mac 2026 - Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Selatan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Pejabat Pembangunan Negeri Melaka dan Akademi Kenegaraan Malaysia telah melaksana Program Santuni Pertubuhan Belia SejaTi Madani x Belia Peringkat Negeri Melaka yang disertai seramai 254 kepimpinan pertubuhan belia bertempat di Kompleks Belia & Sukan Negeri Melaka.
Program Santuni Pertubuhan Belia ini berperanan sebagai mekanisme persediaan awal kepada pertubuhan belia untuk memahami keperluan, kriteria dan hala tuju pelaksanaan Program SejaTi MADANI. Penyertaan dalam program ini juga akan melayakkan pertubuhan belia menerima sijil penyertaan, yang boleh digunakan sebagai sokongan kepada permohonan dana di bawah Program SejaTi MADANI.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk P. Shanmugam a/l V. Pitchay, EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka. Turut hadir bersama adalah Encik Zailani bin Siran, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan bin Mohd Ali, Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Encik Norshah Ezwan bin Yusof, Timbalan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka serta kepimpinan Belia Negeri.
Program Santuni Pertubuhan Belia ini telah diisi dengan slot daripada pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Melaka dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga inisiatif SejaTi MADANI yang akan disalurkan kepada pertubuhan belia akan memberi manfaat berpanjangan kepada pembangunan masyarakat setempat.



