PROGRAM SANTUNI PERTUBUHAN BELIA SejaTi MADANI x BELIA PERINGKAT NEGERI NEGERI SEMBILAN TAHUN 2026
PAROI, 19 April 2026 - Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Selatan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Majlis Belia Negeri Sembilan, Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan dan Akademi Kenegaraan Malaysia telah melaksanakan Program Santuni Pertubuhan Belia SejaTi Madani x Belia Peringkat Negeri Sembilan yang disertai seramai 362 kepimpinan pertubuhan belia bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi.
Program Santuni Pertubuhan Belia ini berperanan sebagai mekanisme persediaan awal kepada pertubuhan belia untuk memahami keperluan, kriteria dan hala tuju pelaksanaan Program SejaTi MADANI. Penyertaan dalam program ini juga akan melayakkan pertubuhan belia menerima sijil penyertaan, yang boleh digunakan sebagai sokongan kepada permohonan dana di bawah Program SejaTi MADANI.
Program ini telah dirasmikan oleh Encik Ahmad Syariffuddin bin Sarmin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan. Turut hadir bersama adalah Datin Malia Hanifa binti Abd Mutalip, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan, Encik Mohd Fairos bin Rusli, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan serta kepimpinan Belia Negeri.
Program Santuni Pertubuhan Belia ini telah diisi dengan slot daripada pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan dan Majlis Belia Negeri Sembilan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga inisiatif SejaTi MADANI yang akan disalurkan kepada pertubuhan belia akan memberi manfaat berpanjangan kepada pembangunan masyarakat setempat.



