PROGRAM SANTUNI PERTUBUHAN BELIA – BORAK SANTAI BERSAMA YB MORDI BIMOL PERINGKAT NEGERI SARAWAK
Bau, Sarawak, 25 September 2026 – Bertempat di Dewan Bung Orad, Bau, Sarawak, telah berlangsung Program Santuni Pertubuhan Belia – Borak Santai Bersama YB Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Program anjuran Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) ini menjadi platform santai untuk menghimpunkan pemimpin dan komuniti belia bagi berkongsi idea, pandangan serta aspirasi dalam memperkukuh pembangunan organisasi belia di peringkat akar umbi, di samping mendekatkan kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan masyarakat.
Program dimulakan dengan Sesi Bersama Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), sebelum diteruskan dengan sesi kemuncak Borak Santai Bersama YB Mordi Bimol. Para belia yang hadir mengambil peluang untuk mengemukakan idea, pandangan dan isu berkaitan pembangunan belia, selain mendapatkan maklum balas secara langsung daripada YB Mordi Bimol.
Menariknya, kehadiran komuniti setempat turut memeriahkan program apabila orang kampung berpeluang berinteraksi secara dekat dan santai bersama YB Mordi Bimol. Suasana tanpa jurang ini menjadikan sesi perkongsian lebih terbuka, mesra dan dekat dengan masyarakat. Program ini diharapkan dapat terus menjadi ruang interaksi dua hala antara kepimpinan KBS, pertubuhan belia dan komuniti dalam mendengar suara akar umbi serta bersama-sama memperkasa pembangunan belia.
