BORAK SANTAI BERSAMA TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN SANTUNI BELIA DI SJKC CHUNG HUA BAU
BAU, 27 September 2026 – Program Santuni Pertubuhan Belia iaitu Borak Santai bersama Yang Berhormat Mordi Bimol, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia telah berlangsung dalam suasana santai bersama belia, beliawanis dan komuniti setempat di sini, malam tadi. Program anjuran bersama itu menjadi platform interaktif untuk golongan belia menyuarakan isu, pandangan dan cadangan secara terus kepada pucuk pimpinan kementerian. Turut hadir, wakil Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), wakil Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paku, Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bau, wakil Majlis Belia Malaysia (MBM) serta Ketua Unit Kolej Komuniti Mas Gading.
Para tetamu yang hadir menyifatkan program seumpama ini sebagai platform terbaik bagi mengenal pasti permasalahan belia di peringkat akar umbi untuk tindakan susulan.
Antara isu yang dibangkitkan ialah isu Padang Hoki SMK Paku yang didakwa tidak diurus dengan sempurna selepas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching. Perkara itu disuarakan oleh Cikgu Anik Apok, 58, memandangkan SMK Paku merupakan pusat latihan sukan hoki Sarawak. Sementara itu, program turut diserikan dengan pengisian Start ZerO TikTok yang dikendalikan oleh Aziana Hizazi dari Kolej Komuniti Mas Gading bagi memberi pendedahan kepada belia mengenai penggunaan media sosial secara positif dan berhemah.
Yang Berhormat dalam ucapannya berharap agar agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat berganding bahu membantu belia, selain kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mendengar dan melihat sendiri pola penduduk, kebudayaan, adat serta perpaduan dalam kalangan komuniti bagi merangka program yang bersesuaian dengan selera anak muda luar bandar yang kini aktif menggunakan internet dan media sosial.


