PEJABAT ROY JAYAKAN SESI TAKLIMAT KEPADA PESERTA KURSUS KEPENGAWAIAN KBS 2026
CHEMBONG, 17 OKTOBER 2026 – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah dijemput untuk menyampaikan sesi taklimat kepada peserta Kursus Kepegawaian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berlangsung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong.
Sesi taklimat merangkumi dua slot utama, iaitu Bicara Akta 668 dan Pendaftaran Pertubuhan Belia yang disampaikan oleh Puan Noorzalikha binti Kamar, serta Pengurusan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) dan Penarafan Bintang oleh Encik Syed Mashor bin Wan Mahbar.
Penyampaian kedua-dua slot ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai peruntukan undang-undang berkaitan pertubuhan belia, tatacara pendaftaran serta kepentingan pematuhan MYKD dan pelaksanaan penarafan bintang dalam memastikan pengurusan pertubuhan belia yang teratur dan berkesan.
Untuk makluman, para peserta kursus yang terdiri daripada pegawai baharu KBS mengikuti latihan selama sebulan di IKTBN Chembong sebagai sebahagian daripada persediaan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan. Diharapkan perkongsian ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesiapsiagaan pegawai baharu dalam melaksanakan tanggungjawab serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada golongan belia.




