PROGRAM SANTUNI MADANI SATU PEMIMPIN SATU KAMPUNG ROY 2026 DI KAMPUNG PENGKALAN CINA, BACHOK, KELANTAN
23 Oktober 2026 – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah melaksanakan Program Santuni MADANI (Satu Pemimpin Satu Kampung) bertempat di Masjid As-Solihin, Mukim Keluat, Kampung Pengkalan Cina, Bachok, Kelantan sebagai usaha mendekati masyarakat serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Majlis Penyerahan Program Santuni MADANI ROY 2026 telah disempurnakan oleh Encik Hasnata bin Hasan, Pendaftar Pertubuhan Belia kepada Encik Mohd Shahrizan bin Mat Ripin selaku Pengerusi Masjid As-Solihin, Mukim Keluat, Kampung Pengkalan Cina, Bachok, Kelantan. Turut hadir Encik Mohd Firdaus bin Amram, Penolong Pengarah Pejabat ICU Zon Bachok/Pasir Puteh dan Encik Saipuddin bin Zakaria, Pengarah JBS Kelantan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen ROY dalam menyantuni rakyat melalui pendekatan turun padang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan komuniti. Ia juga satu inisiatif YAB Perdana Menteri agar kawasan luar bandar tidak jauh tertinggal dalam pembangunan negara. Program sebegini turut menjadi platform untuk mempererat hubungan silaturahim antara penjawat awam dan masyarakat setempat.
Program berteraskan komuniti seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan, malah menjadi medium terbaik untuk memupuk nilai pengorbanan, kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Fokus utama program ini adalah mengenai isu - isu sosiekonomi setempat iaitu Infrastruktur Penyelenggaraan Masjid As-Solihin, Mukim Keluat, Kampung Pengkalan Cina, Bachok, Kelantan seperti penyelenggaran garaj dan lampu solar serta baiki pulih jalan di kawasan meletak kenderaan.
Program ini merupakan langkah holistik ke arah pembangunan masyarakat luar bandar yang lebih progresif, sejahtera dab berdaya tahan. Pelaksanannya di Masjid As-Solihin, Mukim Keluat, Kampung Pengkalan Cina, Bachok, Kelantan dijangka memberi impak positif yang berkekalan dalam pembentukan komuniti MADANI yang inklusif dan progresif.




