ROY PERKASA KOMPETENSI 30 PEGAWAI BELIA DAN SUKAN, PERKUKUH PENYELIAAN PERTUBUHAN BELIA
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) terus mempergiat usaha memperkukuh tadbir urus pertubuhan belia negara menerusi pemantapan kompetensi 30 Pegawai Belia dan Sukan (Kader) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), khususnya yang ditempatkan di Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Kursus Pengurusan Penyeliaan Berkesan Pertubuhan Belia Tahun 2026 anjuran ROY, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Oktober di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Penganjuran kursus berkenaan bertujuan mempertingkat pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme pegawai dalam melaksanakan fungsi penyeliaan, pemantauan serta khidmat nasihat kepada pertubuhan belia, khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT).
Kursus itu turut memberi penekanan terhadap penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia.






