KUNJUNGAN HORMAT BELIA BERHUBUNG PENUBUHAN PERTUBUHAN GENERASI PENGGERAK BELIA KEBANGSAAN MALAYSIA
6 November 2026 | Bilik Mesyuarat ROY - Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil belia yang berhasrat untuk menubuhkan dan mendaftarkan sebuah pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, iaitu Pertubuhan Generasi Penggerak Belia Kebangsaan Malaysia yang ingin dikenali sebagai GENK BELIA.
Kunjungan tersebut telah diwakili oleh Saudara Helmy Zusyahmi dan Saudari Nur Elfy Batrisyia. Pihak ROY pula diwakili oleh Ketua Penolong Pendaftar, Encik Musa bin Salim, bersama-sama Puan Marina binti Mohamad dan Puan Noorzalikha Kamar.
Dalam sesi pertemuan tersebut, pihak ROY telah memberikan khidmat nasihat dan penerangan berhubung tatacara penubuhan serta pendaftaran pertubuhan belia di peringkat kebangsaan. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada struktur organisasi pertubuhan, keperluan tadbir urus serta perkara-perkara penting yang perlu diperincikan dalam Perlembagaan Pertubuhan.
Sesi ini diharap dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada pihak yang berhasrat menubuhkan pertubuhan belia, khususnya dalam memastikan struktur organisasi dan Perlembagaan yang digubal memenuhi keperluan serta peraturan pendaftaran pertubuhan belia yang berkuat kuasa.
ROY sentiasa komited untuk memberikan bimbingan dan khidmat nasihat kepada golongan belia dalam usaha memperkasa gerakan pertubuhan belia yang tersusun, berintegriti dan berdaya saing di peringkat kebangsaan.
