Kuantan, 14 Julai 2024 - Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) telah beralih ke Negeri Pahang pada minggu ini. KJOM telah diadakan dengan jayanya bertempat di Dewan Dato' Sri Abdul Manan Ismail, Kuantan.
KJOM merupakan sebuah program yang dilaksanakan bertujuan menyediakan platform kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pejabat ROY, pelajar sekolah dan Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta atau belia secara umum untuk mendapatkan pandangan berkaitan Pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan Pindaan 2019 (Akta A1602) termasuklah pelan transisi kepimpinan belia.
Antara pengisian aktiviti di bawah KJOM adalah Sesi Perkongsian bersama Bank Negara, Jom Masuk Persatuan oleh Majlis Belia Negeri Pahang, Bicara Akta 668 (Pindaan 2019) oleh Encik Muhammad Husmar Afdzal, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia dan semestinya Sesi Townhall bersama YB Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan bersama En Khairulnizam Mohamad Zuldin, Wakil rasmi YB Exco Komunikasi dan Multimedia Belia & Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang dan Saudara Saharuddin Ahmad, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang.
Program turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Dr. Zainah binti Shariff TKP JBSN (Belia), Pendaftar Pertubuhan Belia Tuan Hasnata bin Hasan serta pimpinan tertinggi KBS.
ROY ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin yang hadir khususnya kepada semua wakil pertubuhan belia bagi memberikan sokongan pada program ini serta yang hadir ke reruai ROY bagi mendapatkan khidmat nasihat.